Menjelang Abad ke-21 Josef Mengele


Pada 17 September 2007, United States of Holocaust Memorial Museum telah menyiarkan koleksi gambar milik staff di Auschwitz yang turut mengandungi 8 gambar Josef Mengele dan satu-satunya koleksi asli gambar-gambar beliau di Auschwitz. Gambar-gambar tersebut telah diambil ketika beliau sedang berada di Solahütte, iaitu pusat rekreasi bagi para pegawai SS.[2]

Pada bulan Februari 2010, kesemua 31 himpunan manuskrip milik Josef Mengele yang dikumpul semenjak 1960 sehingga 1975 ketika beliau berada di Paraguay dan Brazil telah dilelong oleh Alexander Autograph dengan anggaran harga sekitar $100,000 kepada individu berbangsa Yahudi yang tidak ingin namanya dikenali.Manuskrip tersebut merangkumi himpunan diari, autobiografi, penulisan berunsurkan falsafah, komen terhadap isu politik serta kesusasteraan seperti sajak dan cerpen yang dikarang olehnya. Kebanyakan manuskrip tersebut ditulis oleh Josef Mengele dengan menggunakan kata ganti diri ketiga bergelar ‘Andreas‘ demi mengelakkan beliau dikesan sekiranya penulisan beliau dijumpai mana-mana pemburu Nazi. Koleksi itu juga mencerminkan beliau sebagai seorang yang mengalami sedikit gangguan mental akibat kemurungan, kerisauan dan ketakutan sepanjang pelariannya daripada dicekup pihak berkuasa akibat daripada jenayah peperangan yang telah dilakukannya.